iT'S mE

iT'S mE

Tuesday, December 7, 2010

Nilai Wajah Batin Kita


Ketika berhias diri di hadapan cermin, Rasulullah saw menganjurkan kita berdoa, "Ya Allah sempurnakanlah akhlakku sepertimana Engkau sempurnakan kejadianku." Secara tidak langsung doa ini mengajar kita bahawa nilai akhlak jauh lebih penting daripada rupa lahir kita.

Ini sesuai dengan sabda Rasulullah saw,: "Allah tidak memandang rupa lahir kamu dan harta kekayaan kamu tetapi Allah memandang hati dan amalan kamu." (Riwayat Muslin dan Ahmad). Ini menunjukkan nilai seorang manusia bukan pada wajah lahirnya tetapi pada wajah batinnya.

Ketika manusia jahiliah tenggelam dengan pelbagai kenikmatan dunia, Rasulullah saw menyampaikan peringatan dan amaran daripada Allah bahawa kehidupan dunia itu tiada apa-apa nilai melainkan mata benda yang menipu daya. Firman Allah yang bermaksud : "Tidaklah kehidupan dunia itu melainkan mata benda yang menipu daya." (Surah al-Hadid 57:20)

Rasulullah juga memperkukuhkan peringatan itu dengan satu metafora melalui sabdanya yang bermaksud: " Jika kehidupan dunia itu lebih bernilai di sisi Allah melebihi nilai sehelai sayap nyamuk, maka Allah tidak akan memberi minum orang kafir walaupun seteguk air." (Riwayat Ibn Majah no. 4110)

Hasilnya, orang Islam dapat memanfaatkan kebaikan dunia untuk kebaikan akhirat. Malah dunia itu penting kerana adanya akhirat. Jika semasa orang Islam berasa tertekan dengan kehebatan dan keangkuhan orang kafir yang menindas mereka, Allah memujuk mereka melalui firman-Nya yang bermaksud: "Jangan kamu berasa hina dan jangan kamu berasa takut, kamu adalah tinggi jika kamu beriman." (Surah Ali'Imran 3:139)

Bahkan Allah menegaskan tidak ada bezanya nilai darjat orang Arab dengan orang Ajam (bukan Arab) melainkan taqwa ya dimilikinya. Firman Allah, mafhumnya: "Sesungguhnya orang yang paling mulia di sisi kamu adalah orang yang bertaqwa." (Surah al-Hujurat 49:13)

Oleh sebab itu, Sayidina Bilal yang berkulit hitam, berbibir tebal dan beranbut kerinting, tidak berasa hina diri kerana Allah dan Rasulullah telah memuliakannya dengan iman dan taqwa. Dengan penuh syukur dia berkata, "Dulu aku hamba, Allah telah bebaskan aku dengan Islam. Dulu aku hina, Allah telah muliakan aku dengan iman."

Sudah sepakat dalam kalangan ahli-ahli psikologi, bahawa untuk berjaya seseorang itu mesti berpegang kepada nilai-nilai yang dipegang oleh orang yang berjaya. Lama sebelum itu, Allah saw telah mengingatkan supaya meneladani Rasulullah saw (insan yang paling berjaya di dunia dan akhirat): "Sesungguhnya pada diri Rasulullah itu buat kamu adalah teladan yang paling baik." (Surah al-Ahzad 33:21)

Jadi, para sahabat pun berpegang kepada nilai-nilai yang dibawa oleh Rasulullah saw, dan ternyata mereka pun mencapai kejayaan. Dan buat kita, Rasulullah saw mengingatkan: "Sahabat-sahabatku umpama bintang di langit, sesiapa yang mengikuti mereka akan diberi petunjuk!" (Riwayat Ibn Battah al-Ukbari no. 708)

Menyedari pentingnya nilai dalam kehidupan, marilah kita sama-sama muhabah diri dan mengingatkan bahawa manusia semakin hilang nilai ketika memburu barang-barang yang bernilai. Dunia materialistik telah melahirkan ramai manusia "plastik" yang tandus nilai-nilai murni. Ironinya, di hujung pemburuannya manusia hanya menemui fatamorgana... nilai yang tidak bernilai!

No comments:

Post a Comment